Ketika belajar dulu, saya bekerja sambilan di sebuah pusat beli-belah. Pada masa yang sama saya juga buat terjemahan secara bebas. Kedai tempat saya bekerja sambilan adalah sebuah kedai kecil menjual yogurt beku (frozen yogurt). Ada masa ramai pelanggan, ada masa tiada pelanggan langsung. Selalunya, kuliah akan tamat pada pukul 5 petang dan saya akan bekerja pada pukul 6 atau pukul 7 hingga pukul 11 malam. Balik kerja pukul 11 malam saya sambung pula buat terjemahan kalau ada. Tugasan kuliah akan saya siapkan ketika selang waktu kuliah atau pada hujung minggu kerana saya tidak bekerja pada hujung minggu.
Suatu hari, saya dapat kerja menterjemah sari kata untuk drama. Saya bersetuju untuk terima kerja tersebut kerana tarikh akhirnya tidak sama dengan mana-mana tarikh akhir tugasan kuliah saya. Selalunya, video dua jam memerlukan masa empat hari untuk diterjemah kerana saya hanya dapat video tanpa time code atau transkripsi bahasa Inggeris.
Namun, malang bagi saya apabila ada satu tugasan individu yang saya perlu hantar dalam masa lima hari dan tarikh akhirnya selang sehari saja dari tarikh akhir kerja menterjemah sari kata yang saya terima. Tugasan ini diberi selepas saya terima kerja menterjemah sari kata itu. Ini adalah pertama kali tarikh akhir tugasan dan kerja menterjemah saya bertembung dan saya jadi kelam-kabut sebab kedua-duanya sama penting. Ia melibatkan kepercayaan dan tanggungjawab.
Apa yang saya buat? Mula-mula tarik nafas dalam-dalam dan mula berlari ke perpustakaan untuk pinjam buku yang berkenaan dengan tugasan. Tak adalah berlari pun. Tapi laju juga saya berjalan ke perpustakaan sebab untuk kursus terjemahan, buku yang ada di perpustakaan tidak banyak dan kalau lambat, menangislah jawabnya.
Selepas pinjam buku, saya bergegas pulang untuk tukar baju dan pergi kerja. Disebabkan bukan hujung minggu, kedai tidak sibuk jadi saya bawa komputer riba untuk buat terjemahan sari kata apabila tiada pelanggan dan kerja-kerja pembukaan kaunter dan penyediaan yogurt sudah selesai. Sampai tidak berkelip mata saya dari skrin komputer riba demi mengejar tarikh akhir. Memandangkan terjemahan sari kata untuk drama adalah berkaitan perbualan seharian, saya tidak perlu rujukan ilmiah. Lainlah jika saya menterjemah sari kata untuk dokumentari. Banyak rujukan perlu dibuat.
Balik kerja, saya sambung lagi buat terjemahan sari kata. Tiga hari berturut-turut saya ulang rutin yang sama. Saya juga sambung buat terjemahan sari kata di dewan kuliah sementara menunggu pensyarah masuk atau di kafe apabila ada ruang masa antara kuliah. Saya bawa komputer riba ke semua tempat. Tidur? Dua hingga tiga jam saja. Kemudian saya bangun dan sambung menterjemah. Siap saja terjemahan tersebut dalam masa tiga hari, saya terus hantar dan sambung buat tugasan kuliah pula.
Saya ada masa satu hari saja untuk mengarang esei sebanyak 15 muka surat. Memandangkan semua rujukan dan rangka esei telah saya sediakan maka bermulalah sesi menulis tanpa henti selama 24 jam. Saya bawa juga tugasan ini untuk disambung di kedai jika tiada pelanggan. Sudah tentu saya tidak boleh tidur pada malam itu. Nasib baiklah tugasan kuliah perlu dihantar sebelum pukul 4 petang dan hanya ada satu kelas saja pada hari itu. Habis saja kelas, saya sambung menulis di kafe dan terus cetak tugasan di kedai cetak bersebelahan kafe. Kemudian berlarilah saya menghantar tugasan di depan bilik pensyarah. Tepat jam 4 petang saya balik ke bilik untuk bayar tidur sementara tunggu waktu masuk kerja.
Itulah ceritanya kehidupan sebagai zombi. Sampailah sekarang jika ada kerja menterjemah yang selalunya perlu disiapkan segera maka kitaran masa menjadi zombi pun berulang. Kenapa zombi? Sebab jika mahu berjaga, saya akan minum kopi dalam tin. Kesannya, saya perlukan masa sehari untuk bayar tidur dan kembali segar. Masa sehari itulah saya menjadi zombi, saya celik tetapi fikiran saya melayang. Nak rasa jadi zombi? Jadilah penterjemah dan pelajar pada masa yang sama.